|
![]() Gambar tidak ada kena mengena dengan entri. Tengah tiup lilin kek hari jadi! Musim Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka pada tahun ini telah banyak memberikan saya pengalaman yang baru. Bertemu dengan orang-orang kuat arena deklamasi ini membakar semangat saya untuk bertanding dengan lebih meyakinkan pada tahun hadapan. Bermula dengan pertandingan peringkat Kuala Lumpur, saya telah datang bersama rombongan berempat kawan-kawan dari UIAM semata-mata untuk bertanding adalah suatu pengalamana yang cukup manis sekali. Iyalah, kalau hendak dibandingkan dengan tahun lepas, saya berseorang diri sahaja merempuh arus pagi Kuala Lumpur untuk ke Laman Budaya yang letaknya di Jalan Tun H.S. Lee itu dengan tanpa apa-apa pengalaman dan teman. Semuanya sendiri. Dari menghantar borang penyertaan kepada mendapatkan antologi Jamung Merdeka. Saya juga tidak dapat melupakan bagaimana sewaktu saya habis mendeklamasikan sajak, saya boleh sahaja terus balik tanpa mengambil kamera daripada seorang rakan peserta yang telah saya minta pertolongannya untuk mengambil gambar saya sewaktu bertanding. Saat tiba di stesen LRT Damai barulah saya tersedar mengenai perkara tersebut dan terus berpatah balik. Saya ingat lagi nama peserta tersebut, Zaid. Mujurlah dia masih belum balik lagi. Sudahlah saya ada ujian pada malam pertandingan tersebut. Tahun ini juga, saya berkesempatan untuk menghadiri SDPM peringkat IPTA yang diadakan di UKM. Rakan saya Ahmad Hafiz, telah mewakili UIAM dengan sajak keramat, Deklarasi Kemerdekaan. Sewaktu melatih Hafizlah, saya telah berkenalan dengan Abang Amran, seorang yang sangat berdedikasi dan bersemangat dalam pentas deklamasi puisi ini. Saya begitu kagum dengan kesungguhan beliau melatih kami. Begitu banyak ilmu baru yang saya dapat melalui beliau dan saya amat menghargainya. Melalui beliau jugalah, saya dapat berkenalan dengan seorang lagi rakan deklamator, Nik Mustaqim, yang juga merupakan Johan SDPM peringkat Kuala Lumpur. (Panjang umur Abang Amran. Tengah menulis pasal dia, tiba-tiba dia pula call saya!) Pada hari Khamis dan Jumaat lepas, saya turut ke SDPM 2008 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Antara tetamu kenamaan yang hadir adalah Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal. |
| Leave a Comment: |