Azree Ariffin, dilahirkan pada 19 Ogos 1987 dan kini menetap di Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. Seorang Mahasiswa Undang-Undang yang sedang menuntut di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Meminati bidang sastera dan kebudayaan, teristimewanya sajak dan pantun. Merupakan Mantan Minggu Penulis Remaja DBP 2005. Boleh diundang untuk menyertai acara deklamasi puisi dan baca naskhah.
Klik
sini untuk
menghubungi saya.
Segala maklum balas adalah dialu-alukan.
Kemaskini
Pemberitahuan
Tuesday, July 29, 2008
SAYEMBARA DEKLAMASI MERDEKA 2008
Berikut adalah gambar-gambar semasa saya menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2008 peringkat Kuala Lumpur pada 26 Julai yang lepas di Taman Budaya Kuala Lumpur. Suatu pengalaman yang menarik, lebih-lebih lagi tahun ini saya telah ditemani oleh rakan-rakan seperjuangan dari UIAM yang juga turut sama bertanding iaitu Hafiz, Za'im, dan juga Iffah. Saya telah menyampaikan puisi Menebus Nilam Maruah karya Zainal Abidin Haji Suhaili.
Saya berpuas hati dengan persembahan saya. Sempat juga juruacara majlis berseloroh mengatakan bahawa saya tampak seperti Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein, cuma bezanya Datuk Seri tidak memakai pendakap gigi! heheh. Pengalaman yang menarik, dan akan pastinya saya gunakan untuk panduan pada masa akan datang.
Hafiz dan Zaim sedang giat berlatih.
Giliran saya mendeklamasikan puisi.
"Menebus Nilam Maruah"
Aksi Zaim pula lengkap dengan seledang pua kumbunya.
Hafiz juga tidak ketinggalan. Bergegar dewan dibuatnya.
Apalah yang ditunjukkan oleh Iffah tu agaknya ya?
Bergambar kenangan di atas pentas.
Dok main-main sambil membungkus makanan yang hampir semuanya kami taram!
Putihnya awan ukiran mega, Bagai melata berarak perlahan; Kasihnya tuan begitu berharga, Intan permata bukan bandingan.
Untuk entri kali ini, saya telah memaksa diri saya untuk duduk di atas kerusi di perpustakaan untuk menulis catatan yang anda sedang baca sekarang ini. Kalau tidak dipaksa, tak tahu bilalah pula saya akan mengemaskininya selepas ini. Jadual pembelajaran saya agak ketat sekarang ini. Bukan kerana penuh dengan kelas, tetapi kerana saya merasakan terlalu banyak perkara yang lebih penting perlu saya dahulukan.
Hidup saya sekarang bagaikan terkejar-kejar ke sana ke sini. Terkadang berbisik juga di dalam hati, apakah semua ini lantaran semester yang baru sahaja bermula lantas semangat itu masih lagi berkobar-kobar atau hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja? Sudah setahun setengah saya melangsungkan pengajian ijazah di UIAM ini, saya kira dengan pengalaman menempuh pelajaran sepanjang 3 semester lepas telah banyak mematangkan saya dari segi cara pembelajaran yang sepatutnya. Apa yang patut saya tekankan sekarang : Bermulalah dengan memikirkan mengenai pengakhirannya!
Justeru, sekarang ini saya banyak belajar dengan memikirkan mengenai hasil akhir di penghujung semester. Sama ada saya mampu melalui peperiksaan akhir dengan cemerlang atau tidak. Dalam segala hal, persediaan awal adalah paling utama. Selain itu, melalui apa yang saya pernah lalui, jika kita mahu cemerlang di dalam pelajaran, jangan sesekali ponteng kelas!
Itu adalah perkara pokok yang saya titikberatkan sekarang ini. Jika sebelum ini, saya tidaklah begitu mengambil berat dari aspek kehadiran ini, tetapi sekarang ini saya telah mempelajari bahawa adalah menjadi kerugian untuk tidak hadir ke kelas, dan menuntut berkat ilmu daripada pensyarah kita sendiri. Setakat ini, Alhamdullillah setakat 3 minggu pembelajaran bermula, rekod saya masih bersih lagi.
Apa lagi perkembangan yang menarik ya? Owh sekarang ini saya sedang mempersiapkan diri untuk menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan Peringkat Kuala Lumpur 2008 pada hari sabtu ini bersama kawan-kawan seperjuangan dan sealiran dari UIAM bertempat di Taman Budaya Kuala Lumpur. Sebenarnya, saya baru sahaja confirm hendak menyertai pertandingan ini pada Isnin lepas. Kelewatan mendaftarkan diri ini disebabkan beberapa hal yang terpaksa dirundingkan semula. Semoga penyertaan kali kedua ini membuahkan hasil yang lebih bermakna, mudah-mudahan.
Dari segi pembacaan pula, antara karya yang baru sahaja saya usaikan adalah Afdal karya Hairul Anuar Harun. Sebetulnya, abang Hairul adalah seorang penulis kreatif dalam genre lirik yang amat saya kagumi keindahan dan kesantunannya dalam berbahasa. Berani saya katakan, hasil nukilan lirik-lirik beliau yang indah itulah antara sebab mencetuskan minat saya terhadap sastera dan Bahasa Melayu itu sendiri. Novel ini merupakan novel pertama beliau dan telah diterbitkan pada pertengahan tahun 90an. Apa yang saya suka mengenai novel ini adalah sajak-sajak dan pantun-pantun yang diselitkan di hujung setiap bab. Saya sanggup mengembara jauh hingga ke Perpustakaan Hypermedia di Subang Jaya untuk mendapatkan buku ini. Terima kasih kepada Abang Dohani kerana sudi meminjamkannya!
Saya juga telah mengusaikan pembacaan Warisnya Kalbu karya Sri Rahayu Mohd Yusop yang telah memenangi tempat pertama kategori Novel Remaja - Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007. Apa yang saya suka sangat mengenai novel ini sudah tentu mengenai subjek utamnya : pantun! Kalau anda telah mengikuti blog ini, tentu anda akan perasan betapa minatnya saya terhadap puisi ajaib karangan genius orang-orang Melayu ini! Bila membacanya, teringat kenangan mempersiapkan diri untuk menghadapi pesta-pesta pantun intervarsiti dulu (tak banyak pun, 2 pertandingan saja). Buku ini memberi begitu banyak input mengenai sejarah dan hubungan pantun dengan orang Melayu. Terdapat juga ungkapan : Kalau nak kenal orang melayu, kenalilah mereka melalui pantun.
Baiklah, sampai di sini sahaj utusan saya kali ini. Ada beberapa urusan yang harus saya langsaikan hari ini. Jumpa lagi ya! Wassalam!
Pisang dikerat dibuat pengat, Masakan dara menambah selera; Digenggam erat azam dan semangat, Perjuangan bermula semoga membara!
Semester baru bermula lagi. Sebuah perjuangan akan diharungi dalam menemuhi kembara ke ruang yang jauh. Langkah membawa diri ke arah kemajuan. Doakan saya semoga perjalanan ini berjaya ke tempat dituju dengan jayanya. Amin...
"PUTRAJAYA 25 Jun – Kementerian Pengajian Tinggi hari ini memberi kebenaran kepada kafe francais seperti Starbucks, kopitiam dan Dunkin Donuts untuk membuka premis mereka di pusat tumpuan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA)."
Mungkin ada yang setuju. Mungkin ada juga yang tidak. Apa yang utama sekali, kebenaran yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk membuka premis-premis francais di IPTA seharusnya dimurnikan dan diperhalusi dengan teliti. Kalau setakat kebenaran tersebut hanya dijana kerana francais tersebut menyediakan perkhidmatan Wi-Fi, saya merasa ia bukanlah sebab yang begitu kukuh. Lagipun, berapa ramailah sangat yang akan menggunakan perkhidmatan tersebut untuk tujuan melakukan tugasan semata-mata?
Memang diakui, belajar di kafe-kafe francais seperti Starbucks merupakan suatu trend yang kini semakin menular di kalangan mahasiswa dan mahasiswi. Kebanyakan mereka pula berasal dari golongan keluarga berada dan kaya. Ada yang menghabiskan masa berjam-jam lamanya berada di premis berkenaan untuk melangsaikan tugasan pensyarah. Mungkin persekitarannya kondusif untuk sesetengah orang.
Namun, adakah trend tersebut mewajarkan francais-francais tersebut dibawa masuk ke IPTA? Apakah mahasiswa kita secara umumnya sudah berkemampuan untuk berbelanja di kafe-kafe mewah tersebut? Apa yang saya khuatirkan, jurang ekonomi antara para mahasiswa di universiti akan lebih jelas dan ketara terlihat kerana pelajar yang kurang berada pasti tidak akan mampu untuk berbelanja di kafe-kafe tersebut.
Dari sudut positif pula, pembukaan kafe-kafe tersebut akan memberi lebih banyak pilihan kepada mahasiswa di universiti untuk memilih suasana pembelajaran masing-masing. Apa-pun, jika benar kebenaran oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini akan dilaksanakan, hanya berharap, biarlah francais-francais tempatan akan diutamakan dan bukan francais asing. Saya tidak merasakan UIAM akan meluluskan pembukaan kafe Strabucks di kampusnya, memandangkan kafe tersebut menyokong sebuah negara yang tiada hubungan diplomatik di Malaysia. Setakat ini, hanya Kyros Kebab yang beroperasi di UIAM.
Bersetuju atau tidak, semua perkara ada baik dan buruknya. Saya secara peribadi, tidak menyokong francais asing diberi peluang untuk beroperasi di IPTA. Walau bagaimanapun, saya merasakan bahawa eloklah jika francais tempatan, khususnya bumiputera yang diberi kebenaran tersebut, dengan syarat harga makanannya dikurangkan berbanding harga pasaran di luar.
Mari dicambah benih di cangkat, Pohon sebatang terasa redup; Usia bertambah umur meningkat, Semakin matang menempuh hidup.
Selamat Hari Lahir ke-21 kepada Hafiizh Mukhtaruddin Rakan baikku, selama hayat. Saudara ragaku, sejauh hidup. Semoga terus panjang umur, murah rezeki, dan diterangkan hati. Perjuangan kita masih lagi jauh. Masih lagi ribuan batu yang harus kita hadapi. Semoga dapat kita laluinya dengan tenang, dengan doa dan restu, dan dengan rahmat Allah S.W.T.
Ayuh bermadah hilangkan gundah, Mengalun suara gemersik kencana; Ayuh jelajah dunia nan indah, Jauh kembara alam saujana.
Indonesia - akhirnya tanahmu itu telah aku pijak jua akhirnya. Sebuah negara yang penuh dengan ribuan pesona dan jutaan duga. Saya berkesempatan untuk menjejaki Indonesia selama lima hari bermula 18 Jun 2008 dengan mengikuti rombongan agensi pelancongan Reliance yang telah memulakan kembara di Jakarta, menuju ke Puncak, dan akhirnya ke Bandung. Catatan ini saya tulis demi berkongsi pengalaman selain sebagai rakaman peribadi. Ia akan diselang-selikan dengan gambar-gambar yang telah dirakamkan.
Saya telah 'terbang' ke Jakarta menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia yang telah berlepas pada kira-kira pukul 1.45 petang waktu tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sebenarnya telah agak lama juga saya tidak menaiki pesawat MAS ini. Kali terakhir kira-kira 15 tahun lepas. Selepas itu naik pesawat pun akan berlepas dengan Air Asia atau Saudi Arabian Airlines. Lihatlah gambar di atas. Itulah gambar "burung besi" tersebut.
Lebih kurang 2 jam selepas itu, kami pun telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sokarnoe Hatta, Jakarta. Kami telah disambut pemandu pelancong kami di sana iaitu Pak Yos. Oh, sebelum terlupa, pemergian saya ke sana adalah bersama kedua orang ibubapa saya. Kami pergi bertiga ke sana bersama-sama anggota rombongan yang lain yang berjumlah 13 orang. Seronok juga bila pergi beramai-ramai dengan sebuah rombongan seperti ini kerana secara tidak langsung, kawan juga boleh bertambah. Rata-rata ahli rombongan saya terdiri daripada orang dewasa pertengahan umur ke atas. Yang muda pun cuma saya dan seorang lagi kawan baru saya yang bernama Hamzah, umurnya 2 tahun lebih muda dari saya.
Setelah selesai segala urusan, kami telah dibawa menggunakan bas ke sebuah masjid yang letaknya berhampiran dengan dengan lapangan terbang. Maka, menerusi perjalanan tersebut, itulah kali pertama aku telah "berkenalan" dengan macet di Indonesia. Apa itu macet? Ia adalah traffic jam dalam bahasa Indonesia. Bermula dari lapangan terbang lagi macet telah bermula. Tapi tidak mengapa, itulah yang dinamakan suatu pengalaman. Usai bersolat, sempat juga bergambar. Dalam hati, saya berbisik sendirian, "Sampai juga aku ke tanah Jawa ini". Rasa terharu juga ada. Dapat menjejak sebahagian lain kota Nusantara ini.
Menaiki bas semula, kami telah diberikan suatu penerangan tentang Indonesia secara selayang pandang oleh Pak Yos. Sambil mendengar-dengar, sempat juga aku mencatat beberapa fakta yang menarik. Indonesia ini punya jutaan umat manusia sehingga menjangkaui lebih daripada 200 000 000 jiwa. Terdapat lebih kurang 360 suku di Indonesia yang menetap di ribuan buah pulau yang dibahagikan kepada 33 negeri atau provinsi. Sungguh menarik sekali kepelbagaian budaya di Indonesia. Lebih menarik lagi, mereka mampu bersatu walau punya perbezaan suku dan agama dan bernaung sebagai bangsa Indonesia.
Menelusuri kota Jakarta, saya menjadi begitu kagum dengan kota ini. Ia tidaklah seperti yang saya bayangkan sebelum ini. Jakarta ternyata sebuah kota yang begitu pesat membangun dan besar-besar pula bangunannya. Di sana-sini saya melihat bangunan besar yang cantik-cantik, daripada pejabat kerajaan ke bangunan perniagaan komersil, daripada hotel mewah ke rumah-rumah agam. Namun, saya juga melihat bahawa kota ini seperti kebanjiran manusia. Suatu perkara yang saya lihat jauh berbeza dengan Kuala Lumpur yang tampak lebih tenang. Perjalanan kami mengelilingi kota Jakarta juga mengambil masa kerana macet yang berpanjangan. Tapi, bagus juga. Sekurang-kurangnya dapat juga memerhatikan suasana kota Jakarta dengan ragam-ragam manusianya.
Kami telah berhenti makan malam di sebuah kedai masakan padang yang bernama Sari Minang. Sedap juga masakannya. Saya telah makan dengan begitu berselera sekali. Makanan telah dihidangkan bersama air teh 'o panas. Saya telah diberitahu bahawa gaya makanan orang Minang memang sebegitu. Memang sentiasa berteman dengan Teh O' nya. Selain itu, ayah dan bondaku yang sebelum ini memang pernah ke Indonesia, telah memesan Jus Avokado atau di sana dipanggil Alpokkat. Aduh, sedap banget. Dicampur pula dengan sedikit gula melaka, ternyata memang menyegarkan. Kalau di Malaysia, avokado dijual agak mahal. Sebab itu kami telah menggunakan peluang ini untuk minum puas-puas!