Tenang-tenang air di laut,
datang gelora merubah pantai;
Terang-terang hati terpaut,
darilah mata jiwa terantai.
Saya menyambut hari lahir ke-21 semalam dalam keriuhan yang melanda tatkala kalut mempersiapkan diri untuk ujian 3 buah matapelajaran. Saya habiskan waktu semalam dengan menguliti nota-nota Criminal Law 1 yang serasanya bagai begitu menekan-nekan sukma ini. Ujian yang sepatutnya diadakan pada minggu lepas, telah dilambatkan ke minggu ini, membuatkan saya begitu terseksa. Sudahlah saya baru sahaja lepas ujian Family Law 1 pada hari sebelumnya, usai sahaja ujian semalam saya perlu pula mempersiapkan diri untuk The Law of Succession pada tengahari tadi.
Jadual peperiksaan sebegini sebenarnya saya rasakan akan mempengaruhi fokus saya kerana waktu untuk menelaah yang sangat terhad. Saya begitu risau dengan keputusan nanti. Saya telah membuat persiapan awal, tetapi hanya Tuhan yang menentukan segala-galanya. Sekarang ini, tawakal dan berdoa.
Kembali kepada sambutan Hari Lahir saya, tidak ada sambutan apa pun yang diadakan. Saya faham, mungkin dengan kesibukan ujian. Tapi tidak mengapalah, usia hanya angka. Ulangtahun hanyalah hari. Namun, saya berdoa, semoga dengan injakan usia emas 21 ini, saya akan menjadi manusia yang lebih matang menghadapi dugaan hidup dan juga kerenah manusia yang bermacam-macam.
Wassalam.